"BERILMU BERAKHLAK BERKEMAHIRAN"

Tel 03-32161723/24 Fax 03-32161728

Friday, June 25, 2010

IMAN

Iman bermaksud tasdiq (membenarkan), iaitu mempercayai dan meyakini dalam hati, berikrar dengan lisan dan beramal dengan ajaran-ajaran Allah s.w.t. yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud;

"Iman ialah mengiktiqadkan dengan yakin di dalam hati, berikrar dengan lidah serta mengerjakan dengan anggota badan." ~(Riwayat Muslim)~

Pengertian iman akan tertunai dengan melaksanakan tiga tuntutan tersebut. Kesempurnaan iman terletak kepada syarat-syarat tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Iman itu bukan dengan cita-cita dan perhiasan, tetapi ialah apa yang tersemat dihati dan dibuktikan dengan amal."
~(Riwayat Sebahagian Ahli Sunan)~

Imam Ghazali menghuraikan pengertian iman dengan katanya;

"Pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."

Sehubungan dengan itu, iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak berpisah walaupun berbeza dari segi takrif. Ini kerana amal itu adalah hasil iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal. Allah s.w.t. menjelaskan perkara ini dengan firmannya yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah hanya mereka yang apabila disebut nama Allah berasa gerunlah hati mereka, apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakal. Mereka mendirikan solat, berbelanja daripada apa yang kami beri rezeki kepada mereka. MMereka itulah orang beriman sebenarnya. Mereka akan memperolehi beberapa darjat ketinggian disisi Tuhannya dan keampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia."
~(Surah al-Anfal:2-4)~

Selain daripada pengertian iman tadi yang difahami oleh kebanyakan orang, maksud iman juga dihuraikan dengan pengertian-pengertian berikut:


  • Beriktiqad dalam hatinya bahawa ajal dan maut hanya ada pada Allah dan segala perkara yang menimpa kepada seseorang tiadalah satu kesilapan kerana yang silap tidak akan menimpa ke atasnya dan bahawasanya untuk mendatangkan kebaikan kepadanya mereka tidak akan berjaya kalau tidak ada ketetapan untuknya dari Allah, begitu juga sebaliknya kalau mereka hendak menganiayainya takkan berjaya kalau tidak beserta ketentuan dari Allah. Allah berfirman yang bermaksud;
"Katakanlah takkan menimpa kepada kami melainkan perkara yang telah ditentukan Allah. Dialah penguasa ke atas kami dan ke atasnya seluruh orang-orang mukmin wajib bertawakal kepadanya."
~(Surah al-isra':30)~

Dengan keyakinan ini orang-orang beriman akan dapat bebas dari sifat loba terhadap kekayaan dunia, lokek dan bakhil. Disamping dirinya akan terhias dengan sifat-sifat dermawan, suka menolong dan membantu bahkan merasa bahagia dan tenteram dengan kehidupan yang memadai.

  • Beriktiqad di lubuk hatinya bahawa Allah bersama-samanya, mendengar apa yang ia kata dan melihat apa yang ia lakukan dan nyatakan dan juga mengetahui perdayaan-perdayaan mata dan apa yang disorokkan di dalam hati. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
"Tiadalah bagi tiga orang itu berbisik melainkan Allah akan menjadi yang keempat dan tiadalah bagi lima orang yang berbisik melainkan Allah menjadi yang keenam dan juga tiada kurang dari itu atau lebih melainkan Allah bersama mereka di mana mereka berada."
~(Surah al-Mujadalah:7)~

Dengan keyakinan ini bebaslah orang-orang beriman dari lilitan hawa nafsu dan bisikan nafsu amarah dan dorongan syaitan serta fitnah harta benda dan perempuan. Sebaliknya berhiaslah diri orang-orang beriman dengan sifat ikhlas dan sering bermuraqabah terhadap Allah.

No comments:

Post a Comment